Selangor giat pelbagaikan tenaga, hadapi kesan konflik Asia Barat

16 Apr 2026, 6:07 AM
Selangor giat pelbagaikan tenaga, hadapi kesan konflik Asia Barat
Selangor giat pelbagaikan tenaga, hadapi kesan konflik Asia Barat

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri merancang meneroka pelbagai sumber tenaga baharu bagi mengurangkan kebergantungan bahan api, termasuk mempercepat penerokaan sumber loji nuklear pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut akan digerakkan menerusi kerjasama bersama negara lain, sekali gus membentuk ekosistem dan kapasiti penuntut universiti untuk melahirkan bakat tempatan.

“Ini bermaksud campuran tenaga di Selangor harus dipelbagaikan. Kita tidak hanya boleh bergantung kepada gas ataupun arang batu. Tenaga solar, hidrogen dan mungkin biodiesel boleh memainkan peranan yang lebih penting dan harus dipercepatkan.

“Malah, usaha yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026 untuk meneroka sistem dan kesediaan Selangor membina loji nuklear akan digerakkan menerusi kerjasama negara lain, selain mengelakkan kita bergantung kepada kepakaran luar,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagi peringkat awal, Amirudin berkata, bangunan pentadbiran negeri akan meneroka peluang bagi proses peralihan tenaga seperti solar dan teknologi simpanan bateri, tenaga hidrogen serta aspek kecekapan tenaga.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings telah menyiapkan loji hidrogen mini yang mampu membekalkan tenaga kepada 12,900 rumah di Kerling, Hulu Selangor.

Ahli Parlimen Gombak itu turut memaklumkan, operasi dua Loji Sisa Kepada Tenaga (WTE) atau insinerator di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas di Kuala Langat, akan dipercepat dan dilancarkan sebelum Jun ini.

“Dalam tempoh terdekat, saya akan melancarkan loji WTE di Jeram dan Tanjung Dua Belas agar sistem pungutan dan urusan sampah dapat menjana tenaga berbanding terus bergantung kepada tapak pelupusan sampah,” katanya.

Tapak Pelupusan Sanitari di Jeram dan Tanjung Dua Belas bakal memiliki kapasiti masing-masing untuk memproses dan melupuskan 3,000 tan sehari dan 2,000 tan sisa sampah sehari.

Kedua-duanya akan dilengkapi dengan loji WTE dan loji kemudahan lain, selain dibekalkan dengan 90 Mega Watts (MW) kuota tenaga yang diperolehi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Suruhanjaya Tenaga.

Peruntukan kuota tersebut menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang berjaya mendapatkan peruntukan bagi pembangunan projek WTE di negara ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619