SHAH ALAM, 16 APRIL: Bekalan daging babi di Selangor kekal stabil dan mencukupi walaupun kesemua ladang ternakan haiwan itu di negeri ini telah diarahkan tutup.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keperluan semasa kini ditampung sepenuhnya menerusi sumber import dari luar negeri selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Beliau turut menjelaskan Kerajaan Negeri tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung sumber bekalan daging tersebut kerana ia di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan.
“Isu tersebut di bawah urusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan daripada laporan yang saya dapat, bekalan daging babi setakat ini mencukupi.
“Setakat ini memang muktamad dan kita patuh titah Sultan Selangor bahawa tiada lagi penternakan ladang babi di Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan bekalan daging babi di Selangor.
Pada Januari lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar semua aktiviti penternakan babi di seluruh daerah di Selangor dihentikan.
Baginda bertitah aktiviti itu boleh menyebabkan pencemaran udara akibat bau yang tidak menyenangkan serta mencemarkan sumber air sungai susulan pelepasan najis dan sisa kumbahan.








