MPKL jimat petrol, optimum pergerakan kenderaan jabatan

17 Apr 2026, 11:21 AM
MPKL jimat petrol, optimum pergerakan kenderaan jabatan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengoptimumkan pergerakan kenderaan jabatan bagi menjimatkan penggunaan petrol susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata langkah itu dilaksanakan melalui perancangan laluan lebih efisien bagi mengurangkan perjalanan tidak perlu serta penggunaan bahan api.

“Langkah lain yang dipertimbangkan termasuk pengurangan penggunaan elektrik seperti memadam lampu pada bangunan tidak digunakan dan mengawal suhu penghawa dingin.

“Selain itu, MPKL turut menyahut seruan kerajaan dengan mempertimbangkan pelaksanaan kaedah bekerja dari rumah (BDR) bagi kakitangan yang menetap melebihi jarak lapan kilometer dari tempat kerja, tertakluk kepada kesesuaian tugas dan keperluan perkhidmatan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Mohd Hasry, langkah-langkah penjimatan itu penting bagi membantu MPKL mengawal kos operasi harian agar tidak meningkat secara mendadak.

“Ia sekali gus memastikan perkhidmatan kepada rakyat seperti kutipan sampah, penyelenggaraan kawasan awam dan penguatkuasaan dapat diteruskan secara konsisten,” ujarnya.

Selangor melaksanakan dasar BDR bermula 15 April sebagai langkah penjimatan susulan krisis tenaga global.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu melibatkan penjawat awam negeri setiap Selasa hingga Khamis pada setiap minggu.

Menurutnya, dasar tersebut akan disemak secara bulanan mengikut keadaan, keperluan serta keberkesanan selain menggalakkan sektor swasta melaksanakan BDR mengikut kesesuaian masing-masing.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memperkukuhkan pelaksanaan langkah perancangan dan penjimatan tenaga pada peringkat tempatan dengan segera.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).

Kor Ming berkata ia selaras arahan Kerajaan Persekutuan untuk menangani cabaran krisis tenaga global yang kian meruncing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619