Sekatan akses akaun media sosial kanak-kanak bawah 16 tahun Jun ini

16 Apr 2026, 7:27 AM
Sekatan akses akaun media sosial kanak-kanak bawah 16 tahun Jun ini

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kerajaan akan melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sebagai langkah memperkukuh perlindungan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sekatan akses itu dijangka dilaksanakan hujung Jun ini, tertakluk kepada penelitian akhir.

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang melakukan regulatory sandbox (medan uji) dengan platform media sosial untuk mengenal pasti mekanisme yang pada waktu ini dilaksanakan oleh penyedia platform.

“Yang kedua, untuk menyeragamkan dengan mekanisme yang mungkin kita harapkan (dan) kita tidak mahu sekadar disebut sebagai age assurance tapi age verification kerana Malaysia dalam konteks perundangannya berbeza yang mana kita mempunyai dokumen rasmi kerajaan iaitu MyKad,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata MCMC telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai pelaksanaan sekatan itu dengan platform media sosial di Singapura pada Jumaat lalu.

“Sekarang dalam proses meneliti dan mereka (MCMC) akan bawa kepada perhatian saya, mungkin dalam seminggu yang akan datang. Kemudian kita akan putuskan, kita harap dapat laksanakan sekatan ini mungkin Jun atau Julai ini,” katanya.

Beliau berkata beberapa platform media sosial telah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sekatan tersebut dan hasil perbincangan lanjut akan dibentangkan dalam masa terdekat sebelum keputusan dimuktamadkan.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan sedang melaksanakan medan uji bersama dengan platform media sosial untuk mengenakan sekatan umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun baharu.

Beliau berkata pendekatan Malaysia berbeza daripada Model Age Assurance yang digunakan di Australia, dengan Malaysia akan memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna.

Media turut melaporkan sekatan akses media sosial terhadap kanak-kanak kini semakin meluas ke seluruh dunia, selepas Australia mengambil langkah melarang pengguna di bawah usia 16 tahun pada tahun lalu kerana kesan negatif platform itu terhadap golongan muda.

Untuk rekod, Australia meluluskan undang-undang yang melarang akses kepada platform media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun berkuat kuasa 10 Disember.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619