Dua kapal bawa bahan api dari Selat Hormuz dijangka tiba mulai 17 April

15 Apr 2026, 10:20 AM
Dua kapal bawa bahan api dari Selat Hormuz dijangka tiba mulai 17 April

SHAH ALAM, 15 APRIL: Dua kapal Malaysia yang membawa bekalan bahan api dari Selat Hormuz dijangka tiba secara berperingkat mulai 17 April ini.

Lima lagi kapal bagaimanapun masih terkandas di laluan berkenaan susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Pada waktu ini dimaklumkan terdapat dua kapal yang dalam perjalanan. Satu dijangka tiba pada 17 April (Jumaat) manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya.

"Terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” katanya pada sidang media Taklimat Khas Krisis Tenaga Global dan pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil. Foto BERNAMA

Pada 10 April lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata enam daripada tujuh kapal Malaysia telah mendapat kelulusan dan sedang menunggu giliran untuk belayar melepasi Selat Hormuz bagi membawa bekalan minyak mentah ke negara ini.

Manakala sebuah lagi kapal telah pun berlepas membawa bekalan tersebut, sekali gus memastikan bekalan minyak bagi bulan ini dan Mei berada dalam keadaan terkawal.

Pada masa sama, Fahmi berkata isu Selat Hormuz dijangka menjadi antara perkara yang akan dibangkitkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri dan rakan sejawatnya dari Australia.

Menurut beliau, walaupun agenda terperinci belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, kerajaan menjangkakan isu konflik Asia Barat akan turut disentuh dalam perbincangan dua hala tersebut.

“Saya percaya Perdana Menteri akan bangkitkan pendirian Malaysia mengenai isu konflik di Asia Barat dan sudah pasti isu mengenai keadaan sekatan yang berlaku di Selat Hormuz tu akan dibincangkan,” katanya.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya dua memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Australia, Anthony Norman Albanese yang bermula Khamis.

Perbincangan itu turut dijangka menyentuh isu krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada banyak negara termasuk Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619