KUALA NERUS, 13 APRIL: Dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar, sebaliknya ia berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata bekalan diesel berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki serta dijual oleh syarikat yang berpangkalan di Singapura iaitu Vitol.
"Timbul persoalan dalam media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar oleh Kerajaan Malaysia ke Filipina. Namun, penjelasan oleh pihak Petronas serta pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan bahawa minyak tersebut bukan milik Malaysia. Sebaliknya, ia telah dijual oleh sebuah syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Vitol, dan disimpan di sebuah gudang di Johor, di kawasan Tanjung Pelepas.
"Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia. Perkara ini menjadi punca salah faham dalam kalangan segelintir pengguna Internet yang mendakwa diesel tersebut dihantar dari Malaysia.
"Hakikatnya, minyak berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya merupakan milik Vitol yang telah dijual kepada pihak Filipina, dengan kapal tersebut hanya berlepas dari perairan Malaysia," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi berharap maklumat berkenaan dapat diperjelaskan kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan berhubung isu penghantaran minyak tersebut.
Sebelum ini, Pasukan Pengurusan Krisis MTEN dalam satu kenyataan mengesahkan 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti dilaporkan beberapa media antarabangsa.
MTEN turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.
Sementara itu, Petronas dalam kenyataan berasingan turut menafikan penglibatan syarikat itu dalam penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel ke negara jiran tersebut.
Syarikat minyak nasional itu menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel berkenaan.
Terdahulu, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu bagi menambah bekalan bahan api negara itu ketika ketidaktentuan pasaran global.
Menurut laporan itu, penghantaran tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac.








