30 kontena dihantar menggunakan jalan darat ke Gaza melalui Rafah

14 Apr 2026, 3:54 PM
30 kontena dihantar menggunakan jalan darat ke Gaza melalui Rafah
30 kontena dihantar menggunakan jalan darat ke Gaza melalui Rafah

SHAH ALAM, 14 APRIL: Sebanyak 30 kontena bantuan kemanusiaan yang mengandungi makanan serta bekalan perubatan akan dihantar ke Palestin melalui jalan darat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pasukan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sedang menunggu waktu sesuai untuk masuk melalui Rafah termasuk mendapatkan kebenaran.

"Semua 30 kontena ini yang mengandungi ubat-ubatan dan makanan akan melalui jalan darat. Ini bukan sesi pertama, pada 2024 dan 2025 sudah dihantar 100 kontena tetapi tidak dibuat secara besar-besaran.

"Pergerakan telah berlaku dan kita tunggu masa sesuai untuk sampai ke pintu Rafah. Harap berjalan baik kerana protokol keselamatan ditingkatkan tiga ke empat kali ganda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Amirudin berkata, misi berkenaan disertai kira-kira 40 delegasi dari Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menyelaras serta memastikan kelancaran penghantaran sepanjang tempoh operasi.

Tambahnya, misi tersebut dijangka berlangsung antara 20 hingga 25 hari, dengan ratusan aktivis antarabangsa mula bergerak dari Sepanyol bagi menyokong usaha penghantaran dan pengagihan bantuan di lapangan.

“Suasana di Barcelona sangat baik dengan penglibatan terbuka pelbagai pihak serta semangat solidariti yang tinggi dalam kalangan aktivis kemanusiaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan keprihatinan global terhadap nasib golongan terjejas, selain memperlihatkan kerjasama erat merentas negara dalam memastikan bantuan dapat disampaikan secara berkesan dan berterusan.

GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619