Malaysia jadi tulang belakang misi flotilla Gaza GSF 2.0

12 Apr 2026, 1:04 PM
Malaysia jadi tulang belakang misi flotilla Gaza GSF 2.0

BARCELONA, 12 APRIL: Malaysia memainkan peranan utama dalam Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 apabila pesertanya mengisi kekosongan jawatan penting bagi membolehkan pelayaran antarabangsa itu digerakkan.

​Chef de Mission Sumud Nusantara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata sebahagian daripada lebih 40 peserta Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai kapten, kru, pakar enjin dan pasukan perubatan.

​“Mereka bertindak sebagai kapten, kru, teknikal dan pakar enjin di bot dan juga sebagai pasukan perubatan yang membolehkan Misi GSF 2.0 bergerak dengan solidariti dan kesungguhan yang ditunjukkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

​Muhammad Nadir berkata penyertaan pakar dari Malaysia itu sekali gus mengisi kelompangan pada peringkat global yang sebelum ini gagal dicapai.

Beliau berkata GSF 2.0 merupakan fasa kedua selepas kejayaan penghantaran 30 kontena bantuan seberat 374 tan melalui pintu sempadan Rafah, Mesir sebelum ini.

“Sekarang kita berada di fasa kedua untuk menghantar delegasi menaiki bot dan melakukan tindakan disebut sebagai direct action sepanjang perjalanan untuk menggerakkan massa dan masyarakat antarabangsa bertindak,” katanya.

Beliau berkata kemuncak kepada gerak kerja Sumud Nusantara ialah tindakan undang-undang oleh pasukan peguam Malaysia untuk membuka fail di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung insiden penculikan peserta misi sebelum ini.

GSF yang dijadualkan berlepas dari sini hari ini membawa gabungan antarabangsa yang bertekad memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta memberi respons terhadap krisis kemanusiaan dan politik yang semakin meruncing dihadapi rakyat Palestin.

Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan tindakan maritim dengan gerakan mobilisasi global secara bersepadu di darat, selain menghubungkan usaha solidariti, advokasi undang-undang serta kempen akar umbi di pelbagai negara.

Misi itu turut disertai petugas Bernama, iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619