BARCELONA, 12 APRIL: Peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) hari ini.
Ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Laungan solidariti untuk Palestin turut bergema dalam kalangan hadirin.

Antara peserta dari Malaysia ialah wartawan veteran yang juga aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad.
Turut hadir pada majlis pelepasan ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Penaung misi, Duta Besar Malaysia ke Sepanyol Haznah Md Hashim serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Alim Araby.
GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa yang bertekad memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu.

Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.











