SHAH ALAM, 12 APRIL: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang akan belayar dari Barcelona, Sepanyol pada 12 April perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata dan tanggungjawab bersama, bukan sekadar simpati.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya telah mengambil pelbagai usaha termasuk menyalurkan bantuan dan membina prasarana, serta bertekad meneruskan perjuangan agar suara dunia lebih lantang menuntut keadilan buat Gaza.
“Barcelona menjadi titik mula kepada satu lagi ikhtiar besar misi kemanusiaan Malaysia demi Palestin menerusi Global Sumud Flotilla 2.0.
“Sejurus tiba, saya telah melakukan perbincangan koordinasi dan penyelarasan bersama delegasi Malaysia untuk memastikan misi ini bergerak dengan jelas, tersusun dan sistematik.
“Kepada semua delegasi, anda adalah perintis kepada langkah yang lebih besar. Insya-Allah, semoga perjalanan dan perjuangan ini terus diberkati dan dilindungi Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada 3 April lalu, Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar.










