SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor menyalurkan RM1.5 juta bagi membantu rakyat Gaza menerusi Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0, yang dijadual berlepas pada 5 April ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan tunai itu akan digunakan untuk menyediakan pelbagai keperluan asas bagi disalurkan kepada penduduk yang terjejas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri atas amanah besar ini. Insya-Allah saya akan melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaiknya sebagai wakil kerajaan.
“Kerajaan Selangor turut menyumbang RM1.5 juta untuk mengisi kontena tersebut. Insya-Allah bantuan berkenaan dapat memanfaatkan ribuan, malah mungkin ratusan ribu penduduk Gaza yang telah lama terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata beliau sedang menyusun jadual bagi menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0 tanpa menjejaskan kehadirannya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual berlangsung pada 20 April ini.
Katanya, misi berkenaan turut melibatkan wakil rakyat daripada pelbagai parti, sekali gus menegaskan ia usaha bersifat nasional tanpa sebarang kepentingan politik.
“Saya sedang mengatur jadual supaya tidak mengganggu persidangan Dewan. Saya akan pastikan kedua-dua tanggungjawab ini dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Mungkin sebahagian daripada misi itu saya akan bersama dengan beberapa wakil yang saya dimaklumkan ada ahli Parlimen daripada pelbagai parti juga akan terlibat. Ini adalah misi nasional yang tidak melibatkan apa-apa warna dan kepentingan politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon doa dan sokongan rakyat Malaysia agar misi berkenaan dipermudahkan serta mencapai kejayaan.
“Saya memohon doa dan restu rakyat Malaysia agar misi ini berjaya dalam usaha kita membantu rakyat Gaza,” katanya.








