Konflik Asia Barat: Selangor umum pasukan petugas khas selewatnya Isnin 

3 Apr 2026, 4:19 AM
Konflik Asia Barat: Selangor umum pasukan petugas khas selewatnya Isnin 
Konflik Asia Barat: Selangor umum pasukan petugas khas selewatnya Isnin 
Konflik Asia Barat: Selangor umum pasukan petugas khas selewatnya Isnin 
Konflik Asia Barat: Selangor umum pasukan petugas khas selewatnya Isnin 

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor akan mengumumkan barisan pasukan petugas khas (task force) bagi menangani impak krisis geopolitik di Asia Barat, selewat-lewatnya pada Isnin depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau mempengerusikan mesyuarat khas petang ini bagi memuktamadkan pasukan berkenaan, yang dijangka dibarisi pakar daripada pelbagai sektor ekonomi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 3 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Mesyuarat khas saya akan pengerusikan (hari ini) tapi pasukan petugas khas itu saya akan minta pakar beri cadangan. Kerangka besar keseluruhan perlu difahami supaya kita dapat tangani isu yang sebenar.

“Ia melibatkan kehidupan rakyat dan kelestarian ekonomi kita. Usaha kita untuk pastikan lelansungan kehidupan, walaupun sedikit terkesan tetapi akan tetap berjalan dengan baik. 

“Kalau semasa pandemik Covid-19 dahulu kita panggil bekas menteri kesihatan untuk ketuai, jadi isu ini ekonomi jadi kita akan banyak rujuk pakar ekonomi,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menghadiri Program Jelajah Taat Setia Madani peringkat Selangor yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama peserta sempena majlis Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 3 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kelmarin, Amirudin memaklumkan Selangor akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat.

Amirudin dilapor berkata, langkah tersebut menjadi permulaan kepada rangka tindakan menyeluruh di peringkat negeri bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani kesan krisis berkenaan.

Letupan berlaku di sebuah bangunan berikutan serangan Israel, di tengah-tengah permusuhan yang semakin memuncak antara Israel dan Hizbullah, ketika konflik AS-Israel dengan Iran berterusan, di Beirut, Lubnan, pada 31 Mac 2026. Foto REUTERS

Keadaan di Asia Barat semakin meruncing sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas Tehran menerusi serangan terhadap kepentingan AS di negara-negara teluk.

Susulan itu, Iran mengambil langkah drastik menutup dan menyekat Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia sebagai respon terhadap konflik tersebut.

Sementara itu, Amirudin menegaskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual bermula pada 20 April ini akan berlangsung seperti biasa tanpa sebarang penangguhan.

Menurutnya, persidangan tersebut akan menjadi medan khusus bagi memberi penjelasan dan menjawab persoalan terutamanya berkaitan kesan krisis geopolitik yang berlaku di Asia Barat.

“Ia seperti biasa. Setakat ini tiada (tangguh), kerana kita tidak perlu umum darurat, tiada halangan kesihatan. Ia boleh dilakukan dan penting juga kita perjelaskan langkah-langkah.

“Saya sudah lihat semalam (soalan sidang DUN) yang bertanyakan apakah langkah-langkah kerajaan. Ini medan terbaik kepada kerajaan untuk jelaskan apakah langkah yang terbaik yang kita akan lakukan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619