KSN puji Speed Selangor, rekod hasil cecah RM3.02 bilion

3 Apr 2026, 10:00 AM
KSN puji Speed Selangor, rekod hasil cecah RM3.02 bilion
KSN puji Speed Selangor, rekod hasil cecah RM3.02 bilion
KSN puji Speed Selangor, rekod hasil cecah RM3.02 bilion
KSN puji Speed Selangor, rekod hasil cecah RM3.02 bilion

SHAH ALAM, 3 APRIL: Ketua Setiausaha Negara memuji dasar Speed Selangor yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi mempercepat dan memudahkan proses kelulusan pembangunan dalam tempoh singkat.

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut memuji kutipan hasil Selangor yang mencecah RM3.02 bilion pada tahun lalu iaitu rekod tertinggi dalam sejarah negeri ini.

“Tahniah kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar dan seluruh pasukan pentadbiran Selangor. Rekod prestasi 2025 yang baru kita lalui adalah sangat luar biasa.

“Kutipan hasil mencecah RM3.02 bilion. Ini bukan angka main-main, ini adalah rekod tertinggi dalam sejarah Selangor. Sejak saya berada di Selangor dulu, negeri ini sentiasa berada dalam kalangan 'Billionaire Club',” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Taat Setia Madani sempena Program Jelajah Taat Setia Madani peringkat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Majlis yang disertai lebih 2,000 penjawat awam negeri itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam majlis tersebut, Amirudin dan Shamsul Azri turut menyempurnakan inisiatif Gelombang Aku Kasih Malaysia sebagai pendekatan bersepadu untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama peserta sempena majlis Jelajah Taat Setia Madani Peringkat Negeri di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 3 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Shamsul Azri turut menyeru kakitangan awam di Selangor melaksanakan langkah penjimatan selaras ketetapan yang dibuat Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini.

Menurutnya, langkah penjimatan perlu dibuat di semua peringkat bagi mengurangkan pembaziran seperti penggunaan elektrik, penganjuran mesyuarat fizikal serta lawatan ke luar negara yang tidak penting.

“Begitu juga apabila kerajaan memutuskan tiada majlis rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini, bukanlah bermaksud kita menidakkan kemeriahan Hari Raya, tetapi perlu kita laksanakan dengan semangat kebersamaan dan kesederhanaan.

“Ini juga adalah sebagai sebahagian daripada lambang solidariti kita terhadap nasib saudara Islam kita yang tidak bernasib baik seperti di Gaza, Palestin,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan langkah pengawalan tenaga di semua premis kerajaan, termasuk menetapkan suhu penghawa dingin tidak boleh lebih rendah daripada 24 darjah celsius.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, kakitangan awam juga dibenarkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan seiring dengan situasi semasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619