Selangor galak majikan laksana kerja anjal, jaga kebajikan pekerja

12 Apr 2026, 6:00 AM
Selangor galak majikan laksana kerja anjal, jaga kebajikan pekerja

SHAH ALAM, 12 APRIL: Selangor terus memperkasa amalan keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai usaha meningkatkan produktiviti pekerja, khususnya melalui pelaksanaan dasar mesra keluarga.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dasar negeri yang diperkenalkan pada awal 2025 memberi fokus kepada pelaksanaan waktu kerja anjal serta cuti penjagaan bagi menyokong keperluan keluarga dan kesejahteraan pekerja.

Beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan sektor swasta mewujudkan persekitaran kerja mesra keluarga yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, malah meningkatkan kecekapan dan prestasi organisasi.

“Pendekatan ini mengambil contoh model Parents At Work dari Australia yang tidak hanya tertumpu kepada keperluan wanita, sebaliknya merangkumi semua pekerja kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab penjagaan dalam kehidupan mereka.

“Syarikat yang mengutamakan dasar mesra keluarga sebenarnya bukan sahaja memberi nilai tambah kepada aspek inklusiviti sosial malah turut menyumbang kepada produktiviti yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Dalam masa sama, Anfaal memaklumkan Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah memulakan pendekatan libat urus bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak 2025 dengan sambutan yang amat menggalakkan setakat ini.

“Prinsip asas yang kita tekankan adalah majikan perlu lebih cakna dan empati terhadap keperluan pekerja kerana hakikatnya setiap individu akan melalui fasa berkaitan sektor penjagaan dalam kehidupan masing-masing.

“Selain itu, dapatan daripada kajian yang dijalankan bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut dibentangkan dalam satu persidangan di Bali sekali gus menunjukkan pendekatan Selangor mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada 16 November tahun lepas, Anfaal yang juga EXCO Pembangunan Wanita memaklumkan konsep bekerja dari rumah di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menunjukkan impak positif kepada produktiviti serta kesejahteraan pekerja wanita.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan menerapkan polisi itu melalui kajian WBS bagi membolehkan golongan ibu bekerja menyeimbangkan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619