PETALING JAYA, 12 APRIL: Pembangunan infrastruktur bandar yang lebih selamat, mesra pengguna dan inklusif terus menjadi keutamaan di Petaling Jaya menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan kemudahan awam, mobiliti serta keselamatan.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata antara fokus utama ialah pembinaan laluan baharu sepanjang 9.8 kilometer di 20 lokasi, melibatkan kos RM84.1 juta.
Menurutnya, laluan itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), lintasan selamat serta pencahayaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna, termasuk pada waktu malam.
“Berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Petaling Jaya 2.0 (PIPPJ 2.0), MBPJ merancang pelbagai penambahbaikan infrastruktur bagi menyokong mobiliti inklusif supaya dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
“Selain laluan baharu, MBPJ turut menaik taraf lima laluan sedia ada untuk kegunaan pejalan kaki dan mikromobiliti serta membangunkan koridor hijau-biru sepanjang 25.6 kilometer (km) di sungai utama bagi menyokong mobiliti lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 di Pejabat Datuk Bandar, Menara MBPJ baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri berkata sebanyak 13 hentian bas sedia ada akan dinaik taraf dengan pemasangan panel solar serta kemudahan pengecasan peranti bagi meningkatkan keselesaan pengguna pengangkutan awam.
Menurutnya, aspek keselamatan turut diperkukuh menerusi pemasangan butang kecemasan dengan capaian mudah serta sistem komunikasi terus ke pusat kawalan di stesen MRT dan LRT terpilih, melibatkan kos kira-kira RM195,000.
“Selain itu, kemudahan tempat letak kenderaan khas kenderaan elektrik (EV) akan disediakan di 25 pusat bandar manakala sistem parkir yang lebih teratur akan dilaksanakan di sembilan projek perumahan rakyat (PPR).
"Terminal Bas Jalan Othman juga akan dipindahkan ke lokasi baharu sebagai hab pengangkutan bersepadu yang lebih moden dan mesra pengguna dengan kos pembangunan dianggarkan RM360 juta,” ujarnya.
Sebelum ini, Mohamad Zahri turut memaklumkan bahawa keselamatan dan persekitaran antara lima teras utama yang diutamakan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 demi memastikan kesejahteraan penduduk bandar.
Beliau berkata sekitar 70 peratus tindakan berada di bawah bidang kuasa MBPJ manakala selebihnya memerlukan kerjasama agensi kerajaan lain dengan kejayaan pelan ini bergantung kepada komitmen semua pihak.






