SHAH ALAM, 9 APRIL: Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha memacu ekonomi Selangor menerusi program pemulihan kerjaya khusus bagi golongan wanita.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan buruh wanita selain memperkukuh keusahawanan dalam kalangan mereka.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata usaha tersebut digerakkan melalui kerjasama dengan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurutnya, program Career Comeback diperkenalkan bagi memadankan peluang pekerjaan serta memberi sokongan kepada wanita yang ingin kembali ke pasaran kerja.
“Sambutan terhadap program ini amat menggalakkan dengan 30 hingga 40 peratus peserta karnival kerjaya yang menghadiri temu duga secara langsung berjaya mendapat pekerjaan melalui pemadanan berdasarkan kecerdasan buatan (AI) dan resume.
“Usaha ini selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri mencapai kadar penyertaan buruh wanita sekitar 75 peratus menjelang 2030. Tahun lalu, kadar penyertaan buruh wanita di Selangor meningkat kepada 70.3 peratus berbanding 69.8 peratus tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada 17 Mac lalu.
Selain itu, Anfaal menambah, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan pemasaran digital kepada wanita yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi membangunkan keusahawanan dan meluaskan pasaran.
Program Comeback Career oleh TalentCorp agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merupakan inisiatif utama kerajaan untuk membantu wanita profesional kembali bekerja selepas tempoh berehat daripada kerjaya.
Inisiatif itu menumpukan pemantapan kemahiran dan sokongan kembali ke sektor korporat, dengan syarat wanita berumur 25 hingga 55 tahun, berhenti kerja sekurang-kurangnya enam bulan serta mempunyai tiga tahun pengalaman.









