SHAH ALAM, 9 APRIL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan diteruskan di Bandung, Indonesia pada Julai ini, sebagai langkah strategik memperluas pasaran serantau meskipun berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata seramai 50 syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) akan dibawa menyertai SIBS@ASEAN bagi meneroka peluang ekonomi lebih luas di peringkat serantau.

“Buat masa ini kita lihat SIBS yang julung kali diadakan di luar negara akan diteruskan. Inisiatif baharu ini dilihat penting untuk kita mencari pasaran lebih besar kerana kita tidak boleh bergantung dengan pasaran sedia ada.
“Kalau produk mereka dapat sambutan, ini akan bantu bawa keuntungan dan pulangan ekonomi ke dalam negeri Selangor. Saya lihat ada keperluan untuk kita bantu promosikan produk mereka khususnya macam pasaran Asia,” katanya kepada Media Selangor.
Program anjuran Invest Selangor itu bakal memperluas jejak serantaunya menerusi penganjuran edisi sulung SIBS@ASEAN di Bandung pada 9 dan 10 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Hasan Azhari Idris berkata pemilihan Bandung sebagai lokasi penganjuran dibuat berdasarkan profil ekonominya yang hampir menyerupai peranan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Sebelum ini, Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri sedang meneliti penganjuran edisi antarabangsa SIBS bagi mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan utama di Asia Tenggara.
Menurutnya, selepas sembilan tahun penganjuran berturut-turut, pendekatan baharu diperlukan bagi memperluas jangkauan dan impak program tersebut di peringkat global.










