SHAH ALAM, 3 APRIL: Kejayaan 55 juruteknik kohort pertama Program Latihan Base Maintenance Malaysia (BMM) menamatkan latihan kelmarin membuktikan keupayaan bakat tempatan, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur global terhadap industri aeroangkasa Selangor.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata program yang dilaksanakan anak syarikat SIA Engineering Company Limited (SIAEC) itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).
Majlis graduasi kohort pertama itu diadakan di Lapangan Terbang Subang, sekali gus memberi peluang kepada beliau bertemu secara langsung dengan graduan berkenaan.
“Gembira dapat bertemu dengan 55 juruteknik pelatih yang berjaya menamatkan latihan sebagai kohort pertama dalam program latihan anjuran BMM.
“Teruja untuk melihat syarikat aeroangkasa bertaraf global untuk melabur dalam bakat tempatan melalui latihan dan pembangunan tenaga kerja negara.
“Ia mencerminkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan serta potensi rakyat Malaysia untuk bersaing dan cemerlang dalam industri berteknologi tinggi seperti aeroangkasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau menambah, Selangor kini giat memperkasa industri aeroangkasa melalui pelbagai pelaburan strategik dan pengiktirafan industri, khususnya menjadikan hab penerbangan Subang sebagai pusat MRO serantau.
Usaha berterusan ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa kompetitif di peringkat serantau.
“Saya berharap juruteknik muda ini agar terus membina kerjaya di tanah air dan menjadi sebahagian daripada tenaga mahir yang memacu kemajuan industri aeroangkasa Malaysia,” katanya.










