SHAH ALAM, 9 APR: Kerajaan Negeri bercadang memperkenal subsidi kepada pengguna perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga minyak semasa.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han menyifatkan bantuan penjimatan perbelanjaan untuk rakyat ini sebagai antara usaha menukar krisis menjadi peluang.
Jelasnya, langkah tersebut bukan sahaja boleh mengurangkan kos perbelanjaan rakyat tetapi juga berpotensi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selain menangani isu ketersambungan awal dan akhir perjalanan.

Menurutnya, perkara berkenaan sedang diperhalusi secara menyeluruh, merangkumi semua aspek sebelum dimuktamadkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.
“Pentadbiran sedang meneliti kaedah terbaik untuk memastikan subsidi ini dapat memperluas penggunaan DRT dalam kalangan rakyat. Pada masa sama, ia mampu menyelesaikan masalah ketersambungan rangkaian pengangkutan awam.
“Kita juga melihat situasi konflik global sebagai peluang untuk menggalakkan lebih ramai beralih kepada pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan petrol dan diesel,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, Sze Han memaklumkan perkhidmatan Bas Smart Selangor di seluruh negeri terus beroperasi seperti biasa, hasil sokongan subsidi diesel daripada Kerajaan Persekutuan, meskipun negara berdepan kenaikan harga bahan api.
Sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang ke atas Iran pada hujung Februari lalu, harga minyak dunia melambung kerana pergerakan bekalan terjejas selepas republik Islam itu menutup laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz.
Dalam pada itu, Sze Han turut berharap penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam sistem pengangkutan awam negeri dapat diperluaskan dengan segera.
“Ketika ini, hanya laluan di Subang Jaya yang menggunakan kenderaan elektrik sepenuhnya, selain beberapa laluan di Shah Alam, Petaling Jaya dan Hulu Selangor.
“Ada keperluan untuk kita mempercepatkan rancangan penggunaan bas VE di semua laluan. Ini juga jadi langkah jangka panjang dan membolehkan kita beradaptasi dengan situasi semasa,” katanya.








