Dakwaan harga minyak hanya naik di Malaysia dangkal, mengelirukan

9 Apr 2026, 3:43 AM
Dakwaan harga minyak hanya naik di Malaysia dangkal, mengelirukan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa kenaikan harga minyak hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya menegaskan kenyataan sedemikian tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, terdapat pihak termasuk seorang ulama berpengaruh yang mengemukakan pandangan tidak berasaskan fakta berkaitan isu tersebut.

"Ada ulasan dari ulama terkenal yang ada banyak pengikut, berpandangan umpamanya dengan menyatakan ia (kenaikan minyak) tidak betul. (Pandangan) minyak tidak naik di negara lain (hanya) naik di Malaysia sahaja.

"Itu kedangkalan ilmu yang diselubungi oleh pandangan agama dan al-Quran, membuatkan orang percaya. Ia tidak membantu, malah mengelirukan," katanya seperti dilapor Sinar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung yang menurutnya tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, selain menyifatkan langkah tersebut tidak mempunyai asas kukuh.

Dalam tulisan ‘Minda Presiden PAS’, beliau turut menyatakan bahawa faktor ketegangan geopolitik di Timur Tengah, termasuk sekatan Iran di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan alasan kepada rakyat di Semenanjung.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan kenaikan harga bahan api itu dipengaruhi peningkatan kos insurans yang mencecah lebih 100 peratus bagi membawa bekalan minyak ke negara ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) semalam memaklumkan harga diesel di Semenanjung meningkat 70 sen seliter, manakala petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi naik 40 sen seliter di seluruh negara bermula hari ini.

Harga RON97 ditetapkan pada RM5.35 seliter berbanding RM4.95 sebelum ini, manakala RON95 pula RM4.27 seliter berbanding RM3.87.

MOF menjelaskan penetapan harga bahan api di Malaysia dibuat berdasarkan purata harga mingguan, bukan harga semasa harian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619