SHAH ALAM, 7 APRIL: Malaysia dijangka tidak berdepan krisis bekalan minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang meskipun harga bahan api berkemungkinan meningkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu disokong oleh kedudukan PETRONAS sebagai pengimport bersih minyak serta hubungan baik syarikat berkenaan dengan negara pengeluar.
"Kita juga adalah pengimport bersih kerana produk kita adalah jenama premium yang harganya sedikit lebih tinggi, namun kita masih mengimport.
"Pujian harus diberikan kepada PETRONAS kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta hubungan yang baik dengan negara pengeluar minyak.
"Justeru, kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat sedikit gangguan harga tetapi bagi beberapa bulan akan datang, bekalan adalah agak terjamin," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di ibu negara hari ini.
Kementerian Luar pada Selasa mengesahkan bahawa sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz berikutan perkembangan situasi di Asia Barat telah diberikan laluan selamat dan kini sedang menuju ke destinasi terakhirnya.
Wisma Putra memaklumkan hasil positif itu adalah susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi.
Ini termasuk perbualan telefon yang konstruktif antara Perdana Menteri dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac, serta antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.










