Malaysia hargai Iran buka laluan kapal di Selat Hormuz

7 Apr 2026, 1:17 PM
Malaysia hargai Iran buka laluan kapal di Selat Hormuz

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Iran yang membenarkan kapal minyak negara melalui Selat Hormuz.

Penghargaan itu dizahirkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan beliau bersama dengan Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi di sela-sela Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 hari ini.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan tenaga sekali gus membantu mengekang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dan menyokong kestabilan ekonomi negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Media melaporkan enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz ketika ini akan dibenarkan melalui perairan itu secara berperingkat.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan bahawa sebuah daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau telah diberikan laluan selamat dan kini meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Anwar dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lepas yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal negara ini menyambung semula perjalanan mereka.

Perjalanan di Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Feb lepas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619