Selangor bakal umum langkah bersasar tangani impak krisis Asia Barat dalam dua minggu

4 Apr 2026, 1:52 PM
Selangor bakal umum langkah bersasar tangani impak krisis Asia Barat dalam dua minggu
Selangor bakal umum langkah bersasar tangani impak krisis Asia Barat dalam dua minggu
Selangor bakal umum langkah bersasar tangani impak krisis Asia Barat dalam dua minggu

SELAYANG, 4 APR:  Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan beberapa langkah bersasar dalam tempoh dua minggu bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat, kata Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata kerajaan negeri kini sedang memuktamadkan pelan terperinci termasuk pelantikan penasihat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan rentan serta memperkukuh inisiatif sedia ada di peringkat Persekutuan.

“Dalam tempoh dua minggu, saya akan umumkan beberapa langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk memperkukuh usaha yang telah atau akan dilaksanakan oleh pentadbiran Persekutuan,” katanya ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Templer di Dataran Ilmu di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 200 pengunjung.

Mengulas konflik berterusan di Asia Barat, Amirudin menyeru rakyat memahami situasi semasa dan bersedia menghadapi kemungkinan cabaran mendatang ketika negara berdepan ketidaktentuan.

“Ini adalah situasi di luar kawalan kita, bukan sesuatu yang kita minta atau rancang, namun ia perlu kita hadapi bersama.”

Sekitar Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang pada 4 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata walaupun langkah berjaga-jaga sedang diambil, kerajaan negeri akan terus melaksanakan usaha pembangunan termasuk menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Tambahnya, bantuan akan diberi keutamaan kepada golongan yang berdepan kesukaran termasuk kumpulan berpendapatan rendah dan rentan.

“Kita akan lakukan yang terbaik untuk mempertahankan kelangsungan hidup rakyat dan mereka yang memerlukan akan dibantu secepat mungkin.”

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Adun Taman Templer Anfaal Saari beramah mesra bersama tetamu Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Taman Templer di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang pada 4 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Amirudin turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan pembaziran dan sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan memandangkan situasi di Asia Barat masih tidak menentu.

“Ramadan telah mengajar kita tentang kesabaran dan ketahanan. Ini adalah cabaran sebenar yang perlu kita hadapi bersama.”

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan secara lebih sederhana memandangkan kerajaan negeri dan Persekutuan memberi tumpuan kepada usaha melindungi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, sebelum konflik tercetus, Malaysia berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh, namun perkembangan luaran memaksa kerajaan mengambil langkah berhemat termasuk penjimatan kos.

Beliau turut menegaskan Malaysia mempunyai rekod ketahanan dalam menghadapi krisis lalu seperti pandemik dan banjir, justeru semangat berdaya tahan serta kerjasama diperlukan ketika ini. 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619