Stok beras cukup hingga hujung tahun, elak pembelian panik

2 Apr 2026, 4:57 AM
Stok beras cukup hingga hujung tahun, elak pembelian panik
Stok beras cukup hingga hujung tahun, elak pembelian panik
Stok beras cukup hingga hujung tahun, elak pembelian panik

SHAH ALAM, 2 APRIL: Bekalan beras negara mencukupi sehingga hujung tahun, namun orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembelian panik yang boleh mengganggu kestabilan pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan beras sedia ada boleh terjejas sekiranya pengguna membeli secara berlebihan.

“Nak bagi senang faham, kalau biasa kita beli satu beg 10 kilogram (kg) sebulan, jangan tiba-tiba beli sampai empat beg.

"Kalau semua orang buat macam itu, jangka hayat stok akan cepat habis. Dari situ, pasaran boleh jadi tak stabil,” katanya menerusi program Bicara Naratif, RTM semalam.

Menurutnya, gangguan pasaran turut mendorong kenaikan harga beras dan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Gangguan pasaran ini jangan ambil ringan. Barang yang cukup boleh jadi tak cukup. Stok yang boleh tahan enam bulan, boleh habis dalam dua bulan saja.

"Bila bekalan makin kurang, harga pula akan naik. Yang paling terasa kesannya ialah golongan yang pendapatan mereka cukup-cukup makan,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memeriksa varieti padi Clearfield Baharu Mardi MR CL3 dan MR CL4 pada majlis pengisytiharan varieti padi itu di Pusat Benih Padi Felcra Plantation Service Sdn Bhd, Felcra Seberang Perak pada 14 Julai 2025. Foto BERNAMA

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya kekal bertenang, membeli mengikut keperluan dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi memastikan bekalan dapat bertahan lebih lama.

Pada masa sama, Mohamad menjelaskan negara mempunyai sistem stok penimbal yang diurus secara berterusan bagi menjamin bekalan tidak terputus.

“Setiap kali stok dikeluarkan, ia akan diganti semula dengan stok baharu. Maknanya, kalau hari ini kita keluarkan 1,000 metrik tan beras, kita akan tambah balik jumlah yang sama dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, sistem itu memastikan bekalan beras sentiasa berterusan dan stabil.

“Yang penting, kita semua beli seperti biasa, jangan panik dan lebih berjimat cermat. Beli apa yang perlu sahaja.

"Insya-Allah, kalau semua main peranan, kita boleh hadapi situasi ini dengan tenang dan terkawal,” katanya.

Terdahulu, pakar ekonomi menjangkakan krisis geopolitik di Asia Barat akan memberi kesan ekonomi berpanjangan, dengan golongan berpendapatan rendah (B40) antara yang paling terjejas.

Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dalam temu bual bersama Media Selangor menjelaskan, walaupun konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran berkemungkinan berakhir dalam masa terdekat, kesannya tidak akan pulih serta-merta berikutan gangguan terhadap keyakinan industri dan rantaian bekalan global.

Menurut beliau, ketidaktentuan akibat peperangan itu dijangka terus memberi tekanan kepada harga barangan dan menjejaskan kestabilan pasaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619