SERI KEMBANGAN, 2 APRIL: Krisis geopolitik Asia Barat dijangka memberi kesan ekonomi berpanjangan, dengan golongan berpendapatan rendah (B40) antara yang paling terjejas.
Pakar ekonomi menjangkakan walaupun konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran berkemungkinan berakhir dalam masa terdekat, kesannya tidak akan pulih segera berikutan gangguan terhadap keyakinan industri dan rantaian bekalan global.
Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ketidaktentuan akibat peperangan itu dijangka terus memberi tekanan kepada harga barangan dan kestabilan pasaran.
“Walaupun kenyataan terkini Presiden Amerika Syarikat kata akan hentikan perang dalam masa dua hingga tiga minggu, tetapi tidak bermakna krisis ini akan terus terhenti atau impaknya akan terus hilang begitu saja.
“Saya lihat impak itu akan kekal mungkin beberapa bulan kerana bukan sahaja perang yang menyebabkan harga barang meningkat, tetapi keyakinan industri, bagaimana mereka mahu memastikan rantaian bekalan ini kembali pulih,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut pensyarah kanan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, kesan konflik berkenaan turut dirasai di peringkat domestik, khususnya dalam kalangan golongan rentan.
Bagaimanapun, katanya, langkah bantuan kewangan yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini dijangka dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Pada masa sama, Ahmed Razman turut memuji usaha kerajaan mengawal perbelanjaan terhadap projek tidak kritikal serta memperkukuh ekonomi tempatan bagi memastikan pertumbuhan kekal positif.
“Semua ini dilakukan untuk mengurangkan impak yang ketara kepada rakyat. Tetapi jika keadaan masih lagi mendesak, saya lihat mungkin (cadangan) subsidi kawalan harga akan menjadi lebih bersasar untuk golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudian dibalas Tehran dengan menyasarkan kepentingan AS di negara Teluk.
Situasi bertambah kritikal apabila Iran bertindak menutup Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dunia, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.











