AGENDA

KPDNHEP digesa pantau kenaikan drastik harga bawang merah

1 Dis 2020, 11:45 AM
KPDNHEP digesa pantau kenaikan drastik harga bawang merah

GEORGE TOWN, 1 DIS: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kenaikan harga bawang merah di pasaran yang dilaporkan meningkat secara drastik.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata pemantauan itu bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan atau kenaikan harga secara berlebihan selepas India mengenakan pengharaman eksport disebabkan bencana banjir monsun di negara itu.

Beliau berkata CAP melakukan tinjauan di pasar sekitar Pulau Pinang bulan lepas dan mendapati harga bawang merah import dari China, Holland dan Pakistan meningkat daripada RM4.00 kepada RM7.50 sekilogram dan kini harga komoditi tersebut telah meningkat kepada RM10.50 sekilogram.

"KPDNHEP seharusnya menjalankan siasatan segera terhadap kenaikan harga bawang yang terlalu tinggi, sama ada peningkatan itu wajar serta memeriksa kualiti bawang tersebut.

“Pihak kementerian juga tidak seharusnya teragak-agak untuk melaksanakan skim kawalan harga seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya keadaan mendesak," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aduan biasa yang diterima oleh CAP ialah bawang merah berkualiti rendah tetapi harganya mahal manakala peruncit mendakwa masalah bermula apabila bekalan dari India terhenti.

Sementara itu, CAP menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya memeriksa pengimportan bawang di samping memastikan bekalan bawang merah terus berada dalam pasaran selain perlu menggalakkan petani tempatan dan masyarakat mengusahakan tanaman bawang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619