AGENDA

24 peniaga dikenakan tindakan sepanjang pelaksanaan harga maksimum musim Deepavali

30 Okt 2022, 4:48 AM
24 peniaga dikenakan tindakan sepanjang pelaksanaan harga maksimum musim Deepavali

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Seramai 24 peniaga dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 yang berkuat kuasa dari 20 hingga 26 Okt lepas.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 111 premis borong dan 4,228 premis runcit sepanjang tempoh berkenaan.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan, gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata barangan yang disenaraikan sebagai barangan harga terkawal bagi skim itu adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Menurut Azman pelaksanaan skim itu merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat terutama sepanjang tempoh perayaan Deepavali.

"Kuasa pengguna merupakan langkah pencegahan awal yang boleh diambil agar pengguna tidak mudah dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam situasi sukar ketika ini," katanya.

Beliau turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga supaya melaporkan aduan kepada KPDNHEP sama ada menerusi WhatsApp di 019-2794 317/019-8488 000, portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619