PBT

RGG'19: Deruman enjin motosikal gegar kediaman YDP Machang

27 Mac 2019, 9:20 AM
RGG'19: Deruman enjin motosikal gegar kediaman YDP Machang
RGG'19: Deruman enjin motosikal gegar kediaman YDP Machang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MACHANG, 27 MAC: Deruman enjin pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi oleh peserta konvoi Jelajah Semenanjung Malaysia memecah kesunyian dan menggegarkan perkarangan kediaman rasmi Yang Dipertua Majlis Daerah Machang (MDM), hari ini.

Ketibaan konvoi diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Zain A Hamid sekitar 10 pagi itu disambut mesra Yang Dipertua MDM, Ibrahim Bakri Mat Deris, bersama beberapa pengurusan tertinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Aneka jenama merangkumi pelbagai jenis model motosikal menyertai konvoi itu antaranya BMW-R1200GS, Kawasaki Versys 650, BMW RY1000, Kawasaki Z-800 dan Kawasaki Z-1000.

Machang, salah sebuah daerah di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi ‘pit stop’ kelima selepas Port Dickson, Alor Gajah, Kulai dan Marang, dalam konvoi yang bermula sejak Isnin lalu.

Terdahulu, konvoi anjuran MDKL disertai kira-kira 30 penunggang motosikal yang bergabung tenaga bagi memperhebatkan promosi sempena acara Retromania Grand Gathering 2019 (RGG19), pada 13 dan April ini.

Ibrahim ketika ditemui berkata, inisiatif penganjuran acara terulung yang akan menghimpunkan semua peminat motosikal dari seluruh negara itu menjadi inspirasi kepada pihaknya untuk melaksanakan program seumpama itu, pada masa akan datang.

Katanya, percaturan cukup baik dibuat MDKL dalam memastikan edisi ketujuh penganjurannya tahun ini berjalan dengan jayanya melalui promosi yang dipergiatkan di beberapa PBT di semenanjung Malaysia.

“Syabas kepada RGG'19 Kuala Langat kerana dapat mengadakan program seperti ini di Dataran Pantai Morib, April nanti.

“Program ini tidak akan terlaksana jika tidak dirancang dengan baik dan teliti tetapi saya percaya MDKL dapat melaksanakannya dengan baik,“ katanya.

Pada masa sama, bahan kempen RGG'19 seperti sijil, plak, cakera padat (CD), poster dan gegantung turut diserahkan kepada MDM sebagai medium promosi untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan masyarakat di Kelantan, khasnya Machang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619