SELANGOR

Komited laksana pelbagai strategi, capai 30% pembabitan wanita

25 Mac 2019, 6:24 AM
Komited laksana pelbagai strategi, capai 30% pembabitan wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Selaras hasrat Kerajaan Negeri mahukan 30 peratus pembabitan wanita dalam peringkat pembuat dasar, pelbagai strategi dilaksanakan bagi merealisasikan matlamat itu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) komited menganjurkan pelbagai program bagi mencapai sasaran terbabit.

Katanya, antara program dilaksanakan baru-baru ini adalah Persidangan Nasional Gender dan Reformasi Pilihanraya dengan tema 'More Women Better Nation'.

"Persidangan ini bertujuan mempercepatkan penyertaan wanita sebagai pembuat dasar di peringkat nasional dan negeri.

"Antara input diketengahkan semasa persidangan itu adalah pengenalan kepada Kerusi Tanpa Kawasan iaitu sistem ini akan memberi peluang untuk lebih ramai wanita dilantik menjadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kerusi Tanpa Kawasan adalah sistem iaitu calon dipilih tetapi tidak mempunyai kawasan secara spesifik tetapi menjalankan tugas selaku Ahli Dewan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung strategi IWB mencapai sasaran 30 peratus wanita di semua peringkat pembuat dasar, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, IWB turut melakukan penyelidikan berkenaan penyertaan dan pemberdayaan wanita dalam politik di Malaysia : kes Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilakukan di lima negeri iaitu Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.

"Hasil penyelidikan ini sudah dibentangkan pada Januari lalu, menerusi Seminar Nasional Wanita dan Politik dengan tema 'Ke Mana Hala Tuju Politik Negara?'.

"Selain itu, IWB juga terbabit secara langsung dalam menyediakan Modul Latihan Pembangunan Kapasiti untuk Penyelia Pusat Wanita Berdaya dan Program Wanita Berdaya Selangor (WBS)," katanya.

Katanya, program WBS menyasarkan peserta terpilih daripada sesi program umum dari setiap DUN merangkumi modul kepimpinan, pengucapan awam, pengurusan, kewangan, integriti, latihan fizikal, pendidikan politik dan pembangunan sosial.

Malah, beliau berkata, pada akhir program itu, peserta akan melalui proses penilaian berdasarkan pembabitan mereka sepanjang modul dilaksanakan dan akan dianugerahkan Sijil WBS daripada Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619