Cuaca panas, paras air empangan di Melaka susut

28 Mac 2026, 4:00 AM
Cuaca panas, paras air empangan di Melaka susut

ALOR GAJAH, 28 MAC: Paras air semasa di tiga empangan di Melaka masih berada pada tahap normal walaupun dilaporkan menyusut antara 10 hingga 30 peratus ekoran cuaca panas yang dialami kebelakangan ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata paras air di Empangan Durian Tunggal berada pada tahap kira-kira 70 peratus, Empangan Jus (60 peratus) dan Empangan Asahan (90 peratus).

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang tinggi dijangka bulan depan di pedalaman Pantai Barat meliputi kawasan tadahan air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di sini malam tadi.

Hameed berkata pelbagai inisiatif mula dilaksanakan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas sekiranya cuaca panas berlarutan termasuk pengepaman air dari Sungai Gerisik, Johor untuk disalurkan ke loji air Merlimau.

Beliau berkata beberapa kolam tadahan di negeri ini juga akan diaktifkan untuk menyalurkan air ke kawasan empangan sekiranya perlu dan setakat ini, tiada keperluan untuk memohon melaksanakan operasi pembenihan awan.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Sementara itu, Hameed berkata lebih 10,000 menghadiri Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Ayer Limau yang berlangsung bermula 5 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Katanya antara yang turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam serta isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619