Cuaca panas: Sesi PDPR di daerah Kota Setar dan Pendang berjalan lancar

29 Mac 2026, 8:56 AM
Cuaca panas: Sesi PDPR di daerah Kota Setar dan Pendang berjalan lancar
Cuaca panas: Sesi PDPR di daerah Kota Setar dan Pendang berjalan lancar

ALOR SETAR, 29 MAC: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini bagi pelajar di daerah Kota Setar dan Pendang berikutan keadaan cuaca panas berjalan dengan lancar.

Tinjauan mendapati kebanyakan ibu bapa membantu anak mereka melaksanakan PdPR dari rumah menggunakan pelbagai platform seperti Google Meet, Google Classroom dan aplikasi WhatsApp bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terjejas walaupun tidak hadir ke sekolah.

Seorang suri rumah Shahira Azizan, 32, berkata walaupun kurang bersetuju dengan pelaksanaan PdPR kerana bimbang penyampaian guru tidak sampai terus kepada murid-murid, dia tetap akur demi keselamatan dan kesihatan anak saudaranya.

“Saya menjaga dua anak saudara, Khayla Zahra Mohd Zahir, 11, dan Khayla Zulfa Mohd Zahir, 9. Kalau ikutkan, saya lebih suka mereka ke sekolah sebab sesi pembelajaran yang lebih berkesan tetapi saya tahu cuaca terlalu panas, jadi tidak mahu ambil risiko.

“Ada juga rakan yang maklumkan mereka berdepan kekangan, contohnya dalam satu keluarga ada tiga anak yang ikuti PdPR tapi hanya ada satu peranti. Jadi, memang akan ada masalah sikit tetapi perlu juga dilakukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Setar hari ini.

Sementara itu, Khayla Zahra, pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan (SK) Convent berkata dia lebih bersedia mengikuti PdPR kali ini berbanding pertama kali melaluinya ketika negara dilanda COVID-19 dahulu.

“Masa pertama kali PdPR dahulu, saya rasa kekok sikit sebab tak pernah belajar menggunakan telefon dan cikgu tiada di depan macam di sekolah tapi lama-kelamaan saya sudah faham dan rasa lebih selesa,” katanya.

Noraini Jusoh, 45, yang juga suri rumah berkata keputusan melaksanakan PdPR adalah wajar memandangkan keadaan cuaca sejak kebelakangan ini amat panas, terutama pada waktu tengah hari dan ia boleh menyebabkan berlaku strok haba.

“Kalau anak-anak berada di sekolah mungkin mereka terdedah kepada panas ketika berjalan di dalam kawasan sekolah atau melakukan aktiviti luar. Sekurang-kurangnya dengan PdPR mereka belajar dalam keadaan lebih selesa di rumah,” katanya.

Semalam, JPN Kedah dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan PdPR selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa dilaksanakan melibatkan sekolah di Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan bacaan suhu harian gelombang haba pada Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619