Hujan redakan cuaca panas dan kering di beberapa kawasan di Kedah

29 Mac 2026, 12:07 PM
Hujan redakan cuaca panas dan kering di beberapa kawasan di Kedah

ALOR SETAR, 29 MAC: Selepas beberapa bulan dilanda cuaca panas dan kering, beberapa kawasan di Kedah mula menerima hujan petang tadi antaranya daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Kuala Muda sekali gus membawa kelegaan kepada penduduk setempat.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata hampir semua daerah di negeri itu, kecuali Langkawi dan Bandar Baharu, dijangka mengalami hujan atau ribut petir pada sebelah petang.

Beliau berkata keadaan itu selari dengan fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan atau ribut petir pada waktu berkenaan.

“Ada beberapa kawasan dan daerah telah menerima hujan hari ini seperti yang dijangkakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan dengan itu, Muhammad Khalil menasihati orang ramai supaya peka terhadap perubahan cuaca dan merujuk laman sesawang atau media sosial MetMalaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.

Sementara itu, Sayuti Wan Chik yang menetap di Titi Gajah di sini melahirkan rasa syukur apabila kawasan kediamannya mula menerima hujan.

“Alhamdulillah, petang ini Titi Gajah hujan... walaupun hanya beberapa minit, memang terasa nikmatnya kerana dapat mengurangkan sedikit suhu panas,” katanya.

Terdahulu, MetMalaysia menerusi kemas kini status cuaca panas di Facebook memaklumkan sembilan daerah di Kedah berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) setakat 4 petang tadi.

Daerah terbabit ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Langkawi, Kuala Muda, Sik dan Baling.

Tahap berjaga-jaga ialah apabila suhu maksimum harian mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619