SHAH ALAM, 29 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di dua daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor dan Gombak hingga 6 petang ini.
Amaran sama turut diramal berlaku di beberapa kawasan di Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.







