PM: Malaysia gesa gencatan senjata diperluas merangkumi Lubnan

26 Mac 2026, 12:38 AM
PM: Malaysia gesa gencatan senjata diperluas merangkumi Lubnan

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Malaysia menggesa supaya pelaksanaan gencatan senjata konflik di Asia Barat diperluas merangkumi Lubnan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata gesaan itu disuarakan beliau dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam memandangkan negara itu terjejas teruk, dengan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal serta lebih 1,000 mangsa terkorban.

“Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam serta menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Dalam perbualan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan sejawatnya serta menzahirkan penghargaan atas sokongan kerajaan Lubnan dalam menjaga keselamatan dan kebajikan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Mengakhiri perbualan, saya menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam memulihkan keamanan dan kestabilan serantau,” kata beliau.

Media melaporkan Israel telah membedil Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan negara itu sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hizbullah, yang disokong Iran pada 2 Mac lalu.

Pihak berkuasa Lubnan menyatakan sekurang-kurangnya 1,039 orang telah terkorban, manakala 2,876 lagi cedera dalam serangan Israel setakat ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619