Tiada rundingan antara Tehran-Washington setakat ini

25 Mac 2026, 2:22 PM
Tiada rundingan antara Tehran-Washington setakat ini

ISTANBUL, 25 MAC: Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri-Moghaddam menegaskan tiada sebarang rundingan berlaku antara Tehran dan Washington "setakat ini".

Kenyataan itu sekali gus menyangkal spekulasi berterusan mengenai hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA.

"Tiada rundingan sama ada secara langsung atau tidak langsung telah berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) setakat ini," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh IRNA.

Beliau mendakwa AS "mengkhianati diplomasi" sambil menambah bahawa Iran sentiasa mengutamakan dialog dan penyelesaian secara aman, namun terpaksa mempertahankan diri susulan ketegangan yang memuncak baru-baru ini.

Amiri-Moghaddam berkata walaupun "negara-negara sahabat" sedang mengadakan rundingan dengan kedua-dua pihak, usaha itu "bukanlah satu rundingan" sebaliknya bertujuan mewujudkan suasana bagi membolehkan dialog antara Tehran dan Washington pada masa hadapan.

Menurut laporan The New York Times, satu pelan damai AS yang mengandungi 15 perkara telah disampaikan melalui Pakistan. Pelan itu menggariskan langkah-langkah menangani program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.

AS dan Israel telah melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

Serangan itu mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain mengganggu pasaran global serta sektor penerbangan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619