SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui program BUDI95 bagi melindungi rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.
Langkah itu diambil meskipun harga minyak mentah global melonjak lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 setong susulan konflik Asia Barat yang berlarutan.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini.
"Harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
"Selain itu, harga petrol RON95 tanpa subsidi turut meningkat sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter," katanya dalam kenyataan hari ini.
MOF memaklumkan walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik tetap dipengaruhi pasaran global kerana sebahagian bekalan diperoleh dari pasaran antarabangsa.
"Seiring aspirasi ekonomi MADANI, kerajaan akan terus memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada tekanan kenaikan kos bahan api.
"Antara langkah diambil termasuk memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan kekal stabil serta membendung ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, khususnya di kawasan sempadan," katanya.
Selain itu, kawalan penjualan turut diperketatkan dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan,” menurut MOF.
Melalui BUDI95, rakyat yang layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter dengan beban subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.
Selain itu, bantuan diesel individu turut dipertingkat apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 bulan ini berbanding RM200 sebelum ini.








