SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya tidak membebankan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun harga minyak semakin meningkat di pasaran global, namun keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan harga RON95 kekal rendah menerusi subsidi bersasar, lapor Berita Harian.
"Harga minyak hari ini, harga minyak mentah Brent satu barel (tong) sudah naik 100 dolar Amerika.
"Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk BUDI 95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau menyatakan penghargaannya terhadap seluruh jentera KPDN yang membantu negara dan rakyat mengawal kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Beliau berkata, tanpa komitmen warga KPDN yang sedia bekerja sehingga empat kali ganda berbanding bulan sebelumnya, ia tidak dapat dilakukan.
"Dan saya belum dengar ada rungutan. Ini luar biasa kesabaran. Kadang-kala yang merungut, Menteri yang memaklumkan dalam mesyuarat ada bahawa anak-anak buahnya dibebankan dengan begitu banyak tugas.
"Tetapi dia, seperti saya, juga bangga dengan komitmen saudara-saudara menjayakan program ini kerana program ini secara langsung memberi manfaat kepada rakyat Malaysia," katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri terus menegaskan sokongan Malaysia terhadap Iran yang mempertahankan kedaulatan negaranya susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
"Kebetulan Ramadan bermula dengan serangan ganas rejim Zionis Israel dengan Amerika Syarikat menyerang Iran, yang tentunya mengundang tindak balas, dan tindak balas itu sesuatu yang kita rasa hak Iran mempertahankan kedaulatan negaranya, mempertahankan kemerdekaannya.
"Tetapi dalam tindak balas itu, ada tindakan yang menyebabkan kesan itu ke negara jiran. Mulanya di kawasan yang disebut kawasan pangkalan tentera Amerika, tetapi apa yang berlaku ia juga tempiasnya ke kawasan awam, ada orang, masyarakat yang meninggal dan ada kerosakan harta benda.
"Sebab itu, kita juga antara yang terpanggil untuk menghubungi Iran dan negara sahabat untuk menyatakan sokongan kita kepada Iran dalam mempertahanan negara itu konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini," katanya.
Anwar berkata, pendirian Malaysia tidak bersetuju dengan keganasan, kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu-gugat negara lain.








