Hanya 10 kategori layak beli petrol, diesel lebih 20 liter

25 Mac 2026, 1:57 PM
Hanya 10 kategori layak beli petrol, diesel lebih 20 liter
Hanya 10 kategori layak beli petrol, diesel lebih 20 liter

SHAH ALAM, 25 MAC: Pembelian petrol dan diesel selain untuk tangki asal kenderaan di stesen minyak hanya dibenarkan kepada 10 kategori tertentu dengan Permit Khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata kategori tersebut merangkumi penggunaan forklift, pengangkutan air, penduduk kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan berskala kecil.

Menurut beliau, pembelian melalui Permit Khas hanya dibenarkan bagi kuantiti melebihi 20 liter, manakala orang awam hanya boleh mengisi minyak dalam bekas bagi tujuan kecemasan dengan had tidak melebihi jumlah tersebut.

“Mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan perlu memohon dan mendapatkan kelulusan Permit Khas.

"Ini bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel ini diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.

"Permohonan Permit Khas boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan di portal https://spb.kpdn.gov.my dan ditawarkan secara percuma kepada pihak yang layak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam. - fotoBERNAMA

Dalam pada itu, Azman berkata hanya pemohon yang layak dibenarkan menggunakan tong drum, plastik atau mana-mana bekas bersesuaian dan selamat bagi tujuan penyimpanan bahan api.

Beliau menegaskan tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan membeli petrol atau diesel dalam bekas di stesen minyak kecuali dalam keadaan kecemasan dengan kuantiti tidak melebihi 20 liter.

Terdahulu, tular di media sosial video seorang individu mengisi petrol RON95 dalam kuantiti banyak ke dalam tong plastik di but sebuah kenderaan.

KPDN Johor dilaporkan sedang mengesan individu berkenaan yang dipercayai melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Skudai.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN atau talian 1-800-886-800.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619