KPDN rampas 790 jam tangan tiruan bernilai RM790,600

18 Mac 2026, 1:52 AM
KPDN rampas 790 jam tangan tiruan bernilai RM790,600

SHAH ALAM, 18 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki serta merampas 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal disyaki tiruan bernilai RM790,600 dalam serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan itu hasil risikan hampir sebulan, dengan premis terbabit dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan penjualan jam tangan tiruan.

“Selain jam tangan, pihak kami turut merampas kotak dan beg kertas berjenama serta barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan penjualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kegiatan itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang juga pengurus premis.

Katanya, suspek dipercayai bertanggungjawab mengurus operasi termasuk stok dan penjualan, yang dijalankan secara tertutup di premis dua tingkat berkenaan.

“Tingkat bawah dijadikan bengkel pembaikan jam tangan, manakala tingkat atas digunakan sebagai tempat penyimpanan dan penjualan bagi mengaburi kegiatan sebenar.

“Premis dikawal rapi dengan pintu berkunci yang hanya boleh dibuka dari dalam serta dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Menurutnya, penjualan dipercayai hanya melibatkan pelanggan tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, dengan bekalan jam tangan tiruan diperoleh dari luar negara.

Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan barangan tiruan kerana menyalahi undang-undang serta menjejaskan pengguna dan pemilik cap dagangan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619