SHAH ALAM, 26 MAC: Cuaca panas yang melanda beberapa kawasan, khususnya di utara Semenanjung, berpunca daripada fasa perolakan yang terhalang susulan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) di rantau Asia Tenggara.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang, berkata fenomena El Nino yang diramal berlaku pertengahan tahun ini tidak mempunyai kaitan dengan keadaan cuaca panas semasa.
“Penjelasannya, mengapa keadaan cuaca panas semasa fasa perolakan MJO ini mudah: rantau ini didominasi oleh tekanan atmosfera tinggi, menghalang perolakan berlaku, kurang litupan awan, dan seterusnya meningkatnya pancaran matahari sampai ke permukaan bumi dan peningkatan penyerapan haba.
“Ketiadaan hujan juga mengurangkan proses penyejukan melalui proses penyejatan, dan ini boleh menyebabkan gelombang haba.
“Kebiasaannya, keadaan ini hanya bersifat sementara, di mana pusat perolakan terhalang ini akan bergerak ke timur dalam satu hingga dua minggu dan diganti pula dengan pusat perolakan di tingkat menyusul,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan fenomena musim panas dan kering akibat Monsun Barat Daya akan bermula pada Mei dan berlarutan sehingga September 2026.
Keadaan tersebut sudah mula dirasai di beberapa lokasi di seluruh negara dengan daerah Pendang, Pokok Sena dan Baling di Kedah dilanda gelombang haba tahap dua dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius.
Sebanyak 16 kawasan lain di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis, serta beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.
Dalam pada itu, Dr Fredolin berkata Malaysia dijangka berdepan El Nino terintensi kuat dengan keberangkalian merekodkan suhu paling panas berbanding tempoh lain.
Beliau yang berpengalaman sebagai penyelidik berkaitan El Nino selama lebih tiga dekad berpendapat, fenomena cuaca itu berupaya meningkatkan suhu dunia, dengan El Nino pada 2024 diisytiharkan sebagai tahun terpanas dunia.
Tambah Dr Fredolin, fenomena iklim Indian Ocean Dipole (IOD) berfasa positif juga diramal berlaku pada akhir tahun ini dan negara dijangka berdepan musibah cuaca kering seperti jerebu dan kebakaran hutan.
“Suhu dunia pada 2024 mencecah 1.55°C berbanding suhu aman pra-perindustrian Eropah. Suhu pada 2025 sedikit menurun berbanding 2024 kerana pengaruh La Nina yang boleh menurunkan suhu dunia.
“Tetapi akibat pemanasan global yang terus meningkatkan suhu dunia, suhu dunia pada pada 2025 adalah ketiga paling terpanas.
“Bagaimana pula tahun 2026, adakah 2026 ini akan dijangka tahun terpanas direkodkan? Jawapan saya, kebarangkaliannya tinggi,” katanya.
Terdahulu, MetMalaysia menjangkakan Fasa Peralihan Monsun yang membawa hujan lebat dan ribut petir akan bermula pada 29 Mac ini dan diramal berterusan sehingga Mei depan.
Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak 13 November lalu.







