SHAH ALAM, 23 MAC: Jumlah kawasan berstatus cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) meningkat kepada 14 kawasan bermula 4 petang semalam berbanding hanya 12 kawasan pada 6 pagi hari yang sama.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat pada sebelah petang ialah Perlis; Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Padang Terap dan Bandar Baharu di Kedah; Timur Laut (Pulau Pinang); Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) serta Rembau (Negeri Sembilan).
Perkembangan itu menunjukkan peningkatan kawasan terjejas dalam tempoh kurang 12 jam susulan keadaan cuaca panas berterusan.
Dalam kemas kini terbaharu 6 pagi ini pula, Padang Terap, Kedah kekal pada Tahap 2 (gelombang haba) sejak semalam, menjadikannya satu-satunya kawasan mencatat suhu maksimum antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Orang ramai dinasihatkan terus berwaspada dan mengikuti maklumat terkini daripada MetMalaysia.









