KUALA LUMPUR, 25 MAC: Pakar klimatologi menjangkakan suhu global berpotensi kembali mencatat rekod tertinggi tahun ini, dipacu fenomena El Nino dan kesan berterusan pemanasan global.
Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata El Nino berupaya meningkatkan suhu dunia secara ketara, seperti yang berlaku pada 2024 yang diisytiharkan sebagai tahun terpanas dengan peningkatan 1.55 darjah Celsius.
Menurutnya, suhu global pada 2025 sedikit menurun berbanding 2024 susulan pengaruh La Nina, namun masih kekal antara tahun paling panas pernah direkodkan.
Beliau berkata Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat meramalkan El Nino akan bermula sekitar Julai hingga Ogos, sebelum memuncak menjelang hujung tahun dan berlarutan hingga awal 2027.
“Berdasarkan ramalan semasa, kebarangkalian El Nino berlaku semasa Monsun Barat Daya melebihi 70 peratus dan meningkat kepada sekitar 80 hingga 90 peratus menjelang hujung tahun,” katanya kepada Harian Metro.
Dr Fredolin menjelaskan fenomena itu dikesan melalui perubahan lapisan termoklin di timur Lautan Pasifik yang melemahkan proses penyejukan air laut, sekali gus meningkatkan suhu permukaan laut.
Katanya, tanda awal El Nino kini mula dikesan dan fenomena itu berpotensi berlaku pada tahap kuat sehingga awal tahun hadapan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya bersedia menghadapi kemungkinan cuaca kering berpanjangan yang boleh meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan serta jerebu.








