Tiada kompromi walau raya: Imigresen terus bertindak ke atas PATI

24 Mac 2026, 7:00 AM
Tiada kompromi walau raya: Imigresen terus bertindak ke atas PATI

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan terhadap warga asing, khususnya pendatang tanpa izin (PATI) dilaksanakan secara berterusan dan tidak bersifat bermusim walaupun ketika perayaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata tindakan tegas itu perlu bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang pelanggaran peraturan.

“Undang-undang perlu dipatuhi semua pihak termasuk warga asing, JIM sentiasa menghormati hak warga asing untuk menyambut perayaan dengan harmoni, namun undang-undang tetap menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan beberapa individu mengkritik tindakan JIM yang menjalankan operasi pemeriksaan di lokasi tumpuan warga asing semasa cuti Aidilfitri.

Dalam pada itu, Lokman Effendi memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata pelaksanaan operasi semasa musim perayaan adalah satu keperluan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kelonggaran pengawasan.

“Sekiranya penguatkuasaan dilonggarkan, terdapat risiko berlakunya aktiviti pelanggaran undang-undang termasuk peningkatan bilangan pendatang tanpa izin, keselamatan dan ketenteraman awam adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan secara konsisten, berhemah dan berintegriti sebagai langkah pencegahan demi kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan dan bukan menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619