Sindiket seludup PATI ‘Mat Sero’ tumpas di Kota Bharu

9 Dis 2025, 7:48 AM
Sindiket seludup PATI ‘Mat Sero’ tumpas di Kota Bharu
Sindiket seludup PATI ‘Mat Sero’ tumpas di Kota Bharu
Sindiket seludup PATI ‘Mat Sero’ tumpas di Kota Bharu
Sindiket seludup PATI ‘Mat Sero’ tumpas di Kota Bharu

SHAH ALAM, 9 DIS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dikenali sebagai “Mat Sero” dalam operasi khas di sekitar Kota Bharu, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban berkata operasi bermula jam 5.52 pagi itu melibatkan 20 anggota daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Kelantan.

"Hasil risikan selama tiga bulan, pasukan operasi menahan lapan kenderaan awam yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.

"Ketika pemeriksaan, beberapa suspek bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan melanggar kenderaan pasukan, namun berjaya dipintas.

"Ada juga warga asing melarikan diri ke kawasan semak sebelum ditemui," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria dalam serbuan itu, tiga lelaki warga tempatan termasuk ketua sindiket “Mat Sero” serta seorang lelaki warga Myanmar dipercayai ‘transporter’ ditahan.

Seramai 35 warga asing turut diberkas, terdiri daripada 22 lelaki Myanmar, 12 wanita Myanmar dan seorang kanak-kanak. Kesemua tangkapan berusia antara lima hingga 45 tahun.

Pasukan operasi turut menyita lapan kenderaan termasuk Mitsubishi Triton, Toyota Innova, Toyota Rush, Isuzu D-Max, Nissan X-Trail, Toyota Voxy dan Proton X90, serta tiga telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati sindiket membawa masuk PATI melalui laluan tikus di sempadan Kelantan sebelum menyerahkan mereka kepada ‘transporter’ tempatan untuk dihantar ke lokasi yang telah ditetapkan di Lembah Klang. Bayaran dipercayai antara RM400 hingga RM500 seorang.

Menurut Zakaria lagi, sindiket beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan dianggap aktif.

Tambah beliau, tiga lelaki Malaysia dan seorang warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala 35 warga asing ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.

"Jabatan akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki-baki sindiket yang terlibat dalam jenayah ini. Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan migran," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619