152 PATI ditahan dalam serbuan di pusat beli-belah di Cheras

6 Feb 2026, 12:49 AM
152 PATI ditahan dalam serbuan di pusat beli-belah di Cheras

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 152 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan dalam Op Selera dan Op Sapu di premis menjual makanan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata dalam operasi lebih dua jam bermula 8 malam itu, 890 individu diperiksa melibatkan 458 warga asing dan 432 warga tempatan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 82 lelaki dan 70 wanita berusia 21 hingga 42 tahun antaranya dari Myanmar, China, Indonesia dan Bangladesh ditahan atas kesalahan, termasuk tiada dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Jabatan Imigresen menjalankan risikan selama seminggu di lokasi sebelum operasi dijalankan berikutan aduan orang ramai mengenai kehadiran ramai warga asing yang bekerja di premis menjual makanan di pusat beli-belah itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Lokman Effendi berkata operasi penguatkuasaan itu melibatkan 112 pegawai dan anggota JIM dan kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 155,000 warga asing telah mendaftar di bawah Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) setakat ini dan 138,000 daripadanya telah dihantar pulang ke negara asal secara sukarela.

Beliau berkata warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi mengikuti program itu, diikuti warga Indonesia dan jumlah pendaftaran dijangka meningkat menjelang tarikh tutup pada April ini.

"Hasil daripada denda kompaun yang dikenakan melalui program ini telah menyumbang lebih RM77 juta kepada negara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619