Dr Dzulkefly hargai pengorbanan petugas hospital, terus setia pikul amanah

22 Mac 2026, 12:30 PM
Dr Dzulkefly hargai pengorbanan petugas hospital, terus setia pikul amanah
Dr Dzulkefly hargai pengorbanan petugas hospital, terus setia pikul amanah
Dr Dzulkefly hargai pengorbanan petugas hospital, terus setia pikul amanah

SHAH ALAM, 22 MAC: Sempena Aidilfitri, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini meluangkan masa mengunjungi Hospital Sungai Buloh bagi menyantuni petugas yang tetap bertugas sepanjang musim perayaan.

Dalam perkongsian di Facebook, beliau memaklumkan sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna apabila dapat bersama 'wira dan wirawati' yang terus setia memikul amanah demi rakyat.

"Syawal ini adalah bulan ujian untuk kita terus istiqamah, dan bagi petugas kesihatan, "kemenangan" sebenar adalah apabila melihat pesakit kembali pulih untuk pulang ke pangkuan keluarga tersayang," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan di seluruh negara, khususnya kakitangan di jabatan kecemasan dan trauma hospital berkenaan yang kekal bersiap siaga dengan tekun dan ikhlas menjaga kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Hospital Sungai Buloh bukan sahaja memikul tanggungjawab besar sebagai Pusat Rujukan Nasional malah menjadi tunjang perkhidmatan kesihatan bagi kawasan Selangor Utara termasuk Parlimen Kuala Selangor.

"Saya amat memahami betapa warga kami bergantung kepada kepakaran di sini, justeru komitmen saya terhadap infrastruktur adalah tuntas," jelasnya.

Beliau juga memaklumkan komitmen terhadap penambahbaikan infrastruktur hospital termasuk meninjau keperluan baik pulih segera di unit rawatan rapi (ICU) dan dewan bedah.

"Perhatian turut diberikan kepada kebajikan dan keselesaan petugas melalui sedikit sumbangan ikhlas daripada saya buat rakan-rakan kakitangan golongan B40 di sini," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan cadangan pembaikan Pusat Latihan Integrasi Klinikal dan Trauma Life Support Malaysia (TLSM) Kebangsaan di Bukit Ilmu yang berusia lebih 100 tahun sedang diteliti.

"Pelaburan berjumlah RM485,000 yang telah dimohon adalah satu pelaburan modal insan yang kritikal bagi memastikan petugas kita terus kompeten dan mahir dalam menyelamatkan nyawa. Insya-Allah, kami akan usahakan," tambahnya.

Beliau yakin dengan kerjasama Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) sebagai jambatan komuniti, Hospital Sungai Buloh akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619