AGENDA

Malaysia cipta sejarah, resolusi kesihatan paru-paru diterima pakai WHO

24 Mei 2025, 4:37 AM
Malaysia cipta sejarah, resolusi kesihatan paru-paru diterima pakai WHO

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Resolusi Kesihatan Paru-paru yang dipacu negara telah diterima pakai secara rasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva, Switzerland.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penerimaan resolusi itu merupakan pencapaian bersejarah dan kejayaan besar buat Malaysia dalam kepimpinan kesihatan global.

“Alhamdulillah, misi rasmi ke Geneva sempena WHA78 telah selesai dengan penuh jayanya. Malam tadi saya telah kembali ke tanah air dengan semangat lebih menyala dan tekad yang lebih jitu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dzulkefly berkata sepanjang berada di Geneva, beliau mewakili Malaysia menjadi tuan rumah ketika sesi sampingan WHA78 bagi memajukan kesihatan mulut dalam Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).

Beliau berkata pelbagai pertemuan strategik telah diadakan bersama organisasi kesihatan antarabangsa seperti WHO, Gavi (the Vaccine Alliance), Rare Disease International (RDI), Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) dan Medicines Patent Pool (MPP).

Dzulkefly yang mengetuai delegasi Malaysia ke WHA78 di Geneva dari 18 hingga 22 Mei berkata pertemuan dua hala turut diadakan bersama rakan sejawatan atau wakil kesihatan dari Bangladesh, Mesir, Iran, Palestin, Brunei dan Norway bagi memperkukuh kerjasama kesihatan antara negara.

Menurut beliau, Malaysia juga menyuarakan iltizam terhadap kesaksamaan vaksin, kesiapsiagaan pandemik dan agenda One Health di peringkat serantau.

“Setiap langkah dan pertukaran di Geneva membawa satu mesej jelas - Malaysia bukan hanya mengikut arus kesihatan global, malah turut menerajui, memacu dan membentuk hala tuju bersama.

“Terima kasih kepada semua rakan kongsi strategik, petugas delegasi dan warga Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus menjayakan misi ini,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619