SHAH ALAM, 22 MAC: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 0.3 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE), semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kemalangan pada kira-kira 5.56 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 24 tahun parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta yang datang dari arah Kajang dipercayai dipandu laju dan secara melulu ketika memasuki susur keluar ke arah Ampang.
“Kenderaan itu dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum merempuh motosikal mangsa yang berada di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan mangsa, seorang mekanik, mengalami kecederaan parah di kepala, selain lengan kiri putus.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit, lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 18 saat memaparkan seorang lelaki terbaring di atas jalan selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta berwarna biru.








