Tiga beranak maut ketika bercuti di Pulau Tioman

20 Mac 2026, 2:49 PM
Tiga beranak maut ketika bercuti di Pulau Tioman

KUANTAN, 20 MAC: Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di Pulau Tioman dan menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila tiga beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Tekek-Juara, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Sabri Ja’afar, 42, yang merupakan Pegawai Khidmat Pelanggan di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia, isterinya Siti Aisyah Suhaime, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Yusuf Abdurrahman Mohd Sabri, 5.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah air terjun Kampung Juara menghala ke sebuah resort penginapan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, yang merupakan kawasan jalan curam berbukit dan tidak rata, motosikal dinaiki tiga beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat impak kemalangan itu, beliau berkata Mohd Sabri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala isteri dan anaknya pula disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Tekek dengan kecederaan sama.

Sharif Shai berkata hasil siasatan juga mendapati kesemua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian, selain semakan mendapati cukai jalan motosikal milik resort berkenaan telah tamat tempoh sejak Julai 2019.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rompin pada malam ini menggunakan bot Pasukan Polis Marin, untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada 10 pagi esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619