Polis gagalkan cubaan seludup 2,000 liter petrol di Bukit Kayu Hitam

19 Mac 2026, 4:22 AM
Polis gagalkan cubaan seludup 2,000 liter petrol di Bukit Kayu Hitam

JITRA, 19 MAC: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 2,000 liter minyak petrol selepas menahan lima pikap di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata rampasan itu dijalankan menerusi satu operasi khas oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam tempoh sejam bermula 7 pagi.

“Polis turut menahan empat lelaki warga Thailand dan seorang lelaki tempatan berusia 23 hingga 37 tahun. Siasatan awal mendapati, kesemua suspek menggunakan lima pikap yang diubah suai dengan pemasangan tangki besi tambahan.

“Pemasangan tangki itu bertujuan untuk membawa petrol secara tidak sah untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah Muhammad Nizam Jamaludin.

Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan itu diserahkan kepada KPDN Kedah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Adzli berkata kesemua lelaki yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain ujian saringan urin adalah negatif, dan jumlah keseluruhan termasuk kenderaan dirampas dianggarkan RM560,000.

“Pikap guna diesel tetapi kenapa mereka bawa petrol? Itu satu kesalahan undang-undang yang serius. Seperti yang kita maklum, peperangan (di Asia Barat) yang sedang berlaku turut menjejaskan negara jiran hingga menyebabkan harga minyak melambung, selain catuan dibuat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis juga sedang menyiasat stesen minyak yang menjual bahan api berkenaan kepada kesemua suspek.

“Saya minta semua pengusaha minyak di negeri ini supaya bertanggungjawab, jangan bersubahat dalam kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi negara serta menggugat keselamatan awam.

“Kita akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619